| 6 DISEMBER 2009, bertempat di halaman hadapan pondok keselamatan Taman Seri Bayu, (TSB) diadakan Majlis Berkhatan beramai-ramai anak-anak penduduk TSB. Majlis bermula Jam 7.45 pagi dan berakhir Jam 5.00 petang. Majlis adalah anjuran Biro Agama Persatuan Penduduk TSB. Majlis telah dirasmikan oleh Ybhgia Tuan Buang Bin Hj. Ismail, ketua kampung, Kg. Bukit Naga. Dalam ucapannya, beliau menyebut bahawa program ini adalah julung kali diadakan di Kg. Bukit Naga dan beliau amat berbangga dengan kerjasama dan kesungguhan penduduk Taman Seri Bayu yang telah sepakat mengadakan program ini secara bersama-sama.  Program Berkhatan yang diadakan telah mendapat sokongan dan galakan dari ketua kampung sendiri di mana beliau telah menaja pasukan kompang Jawa, Kg. Bukit Naga yang turut dijemput untuk sama-sama memeriahkan program tersebut. Program ini telah disertai oleh 16 orang kanak-kanak dari anak-anak penduduk Taman Seri Bayu dan rakan taulan penduduk Taman Seri Bayu dari seawal usia 5 tahun dan paling tua 10 tahun.
 Anak-anak yang menyertai program berkhatan ini telah diraikan dalam satu majlis yang agak meriah, di mana anak-anak ini telah diberikan cenderahati setiap seorang dan dimandikan dengan semburan air dari pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat, Shah Alam. Setelah itu, anak-anak ini telah dibawa berarak dengan kenderaan khas yang telah dihias cantik melalui Jalan Seri Gambut dan Jalan Rezab Buang untuk ke tempat berkhatan di Surau Himmatul ’Aliah, Kg. Seri Gambut. Seronok betul rasanya anak-anak ini diarak dengan lori berhias ke surau, memang teruja. Semua orang yang lalu memberikan sorakan dan lambaian kepada mereka. Tak tau lepas tu, mereka terpaksa menghadapi saat-saat yang mendebarkan dan mencemaskan untuk dipotong Anunya.  Acara berkhatan telah diadakan di Surau Himmatul ’Aliah, Kg. Seri Gambut. Doktor yang mengkhatankan ialah Dr. Syed Ahmad dari Klinik Syed, Seksyen 3, Shah Alam. Dr. Syed telah mengkhitankan anak-anak Seri Bayu menggunakan kaedah potong dengan cara lazer. Alhamdulillah program berkhatan dapat dilaksanakan dengan lancar. Semua anak-anak telah berjaya dikhitankan, walaupun terdapat bermacam-macam ragam sewaktu acara berkhitan ini dilaksanakan. Ada yang menjerit-jerit mengaduh kesakitan, ada yang meraung-raung minta ampun tak nak dikhitankan, ada yang minta sunat esok, ada yang geli, ada juga yang steady je... Tak kata apa-apa, mengaduh pun tidak.. senyum jer, siap tunjuk tanda bagus lagi kat kawan -kawan yang belum sunat. Tapi bila ditanya nak sunat lagi ke idak, masing-masing menggeleng kepala, tak nak sunat lagi... he he.. tobat.

Kesian juga tengok anak-anak yang kena sunat ni bila melihat mereka meraung minta tolong dan sebagainya... tapi kesian lagi tengok bapa-bapa dan emak-emak yang resah gelisah menunggu anaknya nak disunatkan, dan yang lagi kesian bila tengok ada bapak yang tumbang bila menemankan anaknya bersunat. Yang peliknya anaknya steady jer. Sapa la tu agaknyer???  Pada keseluruhannya program ini berjalan dengan baik dan memuaskan. Ucapan Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penduduk Taman Seri Bayu yang telah bersama-sama bekerja sama menjayakan program ini terutama kepada Saudara Ali Shahbana Bin Shaari, Pengerusi persatuan penduduk TSB, Biro Agama TSB serta AJK yang terlibat menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga kepada kaum ibu yang telah berusaha bersama-sama dan membantu untuk menjayakan program ini, juga kepada Dr. Syed Ahmad yang telah mengkhitankan anak-nak TSB serta Pengerusi dan AJK Surau Himmatul 'Aliah, Kg Seri Gambut. yang telah memberi kebenaran untuk melaksanakan program berkhatan di surau. Semoga usaha Anda semua akan mendapat ganjaran yang setimpal di sisi Allah SWT. Insyaallah.

Anak-anak begitu teruja menunggu saat kena potong... tengah tunggu giliran utk mencabut undi
Bapak-bapak menyorok takut kena pancut bomba Saudara pengerusi berbual mesra dengan ketua kampung.... Apa yang diperhatikan oleh Saudara Nazri tu agaknya Saudara salam sempat mengusik anak-anak yang nak bersunat... " berani ke nak kena potong ni". Anak-anak seronok bermandikan semburan air hujan dari pihak bombaLabels: Majlis Berkhatan 2009 |
Post a Comment